Thursday, May 19, 2011

Malaysia , Pelancongan dan Informasi

Berita terbaru yang saya dengar dari rakan Jepun di Akita, terdapat ramai yang ingin menyertai program 'Long Stay' di Pulau Pinang namun kurang informasi. Ini telah menyebabkan rakan saya seorang warga Jepun pulang ke Jepun untuk memberi penerangan tentang program ini khususnya dan penerangan tentang Malaysia umumnya.
Ini memang saya akui benar kerana ketika saya di negara Jepun selama lebih kurang 5 tahun, informasi pelancongan khususnya tentang Malaysia amatlah kurang. Kalau ada pun bukan dari inisiatif pihak Malaysia di Jepun tetapi usaha syarikat pelancongan atau agensi mereka seperti JTB dan sebagainya. Sebagai rakyat Malaysia di Jepun selain dari kami sendiri memberi makluman serta melakukan kempen tentang Malaysia sekiranya ada masa dan ruang, maklumat hebahan dari pejabat pelancongan Malaysia di Jepun amatlah susah diperoleh. Kita tahu bahawa kuasa beli rakyat Jepun sememangnya amat tinggi dan bagi mereka untuk melancong ke Malaysia amat mudah. Cuma yang perlu ada maklumat yang sering di 'update'. Amatlah memalukan maklumat tentang negara lain seperti Vietnam, Kemboja mahupun Myanmar lebih mudah dan banyak diperoleh.
Saya amat berharap agar usaha yang lebih banyak perlu dilakukan dan saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dato Seri Ng Yen Yen kerana beliau nampaknya bertungkus lumus mengadakan pelbagai sumber tentang Malaysia untuk dipromosi dan dikongsi. Laman sesawang Facebook juga telah diberi wajah baru dan dilancarkan semalam dan bagi saya usaha-usaha seperti ini harus diteruskan atau...beri saja tugas pegawai pelancongan di Tokyo itu pada saya, tahulah saya menaikkan KIP/KPI pelancongan Jepun di Malaysia. Usaha yang saya dan rakan-rakan sedang lakukan adalah dengan mempromosikan Malaysia pada sekolah-sekolah , kolej dan universiti di Jepun kerana kita tahu mereka ada program lawatan luar negara setahun sekali. Malaysia boleh dijadikan bukan saja tempayt pelancongan namun pusat pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa. Saya menawarkan selain dari bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, bahasa Arab dan lain-lain bahasa Eropah. Ini dapat menarik para pelajar yang ingin belajar sambil melancong. Ini adalah sebilangan kecil usaha yang telah kami jalankan dan akan kami kembangkan lagi. Kita amat berharap agar yang berada di kementerian pelancongan atau agensi-agensi berkaitan akan lebih berusaha, bukan pergi melihat, mendengar komen tanpa ada apa-apa tindakbalas yang efektif. Demi Malaysia dan pembangunan malaysia, ayuhlah kita berusaha bersama-sama. Kenali Malaysia, Cintai Malaysia.

0 ulasan:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons