Friday, May 30, 2008

KJ satu liabiliti UMNO

Selepas PRU 12 , ramai yang tahu di antara punca kekalahan dan kekurangan undi untuk BN adalah kerana KJ. Ramai yang tidak suka, benci, meluat pada sikecil yang merasakan beliau besar ini. Namun tidak ada seorang pun yang berani menyatakan yang si KJ ini adalah beban atau faktor kekalahan besar UMNO hinggalah anak Tok Det , Mukhriz mengeluarkan kenyataannya yang saya baca di Utusan Malaysia. Syabas, tabik hormat saya pada Mukhriz kerana berani menyatakan apa yang pemimpin-pemimpin senyap UMNO tidak berani katakan. Termasuklah seorang pemimpin lembik yang cuba mengangkat keris pada satu ketika sehingga menyebabkan ramai orang bukan Melayu larikan undi BN ke parti lawan... namun, tidak perlulah meminta maaf.. sandiwara anda perlu diteruskan lagi dan kalau tak mampu jadi Melayu sejati, bagi saja keris pada Mukhriz.
Faktor KJ menjadi liabiliti pada UMNO ini bukan saja diperkatakan oleh golongan elit UMNO tapi golongan kedai kopi UMNO juga. Namun golongan elit ini tidak berani menyatakan apa yang sepatutnya kerana takut ditendang dari kelompok eksklusif ini. Golongan kedai kopi sering menyatakan namun tersekat oleh golongan pertengahan yang mahu namanya naik satu hari nanti. Oleh yang demikian, diharap ramai yang mampu dan berani menyatakan yang benar terutama, En Ezam yang disambut seperti hero yang baru pulang dari Iraq. Dedah dan nyatakanlah kebenaran En Ezam. Janganlah anda diuliti oleh janji-janji manis tentera senyap ini. Bantulah Mukhriz yang ditentang oleh tentera-tentera senyap ini. Semoga yang benar itu dituruti dan yang salah juga diakui.

Friday, May 23, 2008

Katak Terkeluar dari Tempurung

Perkembangan politik UMNO dan Tok Det kalau dilihat telah juga menjangkiti kaum keluarga Tok Det. Banyak katak-katak yang sebelum ini berada di bawah tempurung telah keluar menjerit-jerit memanggil hujan. Agar, hujan yang di atas akan "mula kenal" katak yang memanggilnya. Hari ini di akhbar-akhbar tempatan, ramai dari pemimpin Pemuda UMNO negeri mengambil kesempatan berharga yang mungkin dapat mempromosi nama mereka, menghentam anak Tok Det,Mukhriz ,agar jangan "mengugut", jangan itu dan jangan ini. Siapa mereka ini? Kalau manusia minda kelas pertama melihat apa yang dilakukan oleh Mukhriz ini hanya satu pernyataan kecewa beliau. Siapa Mukhriz untuk mengugut Pak Lah dan semua orang tahu bahawa Pak Lah lebih tinggi kedudukannya dalam UMNO dan Pak Lah tidak perlu rasa tergugat pun sekiranya Mukhriz keluar UMNO. Anak Tok Det ini hanya menyatakan yang dia akan keluar UMNO sekiranya Pak Lah tidak melepaskan jawatan. Pernyataan ini adalah seperti seorang lelaki yang menyatakan hasratnya pada si perempuan yang dia akan lari dari si perempuan sekiranya cintanya ditolak..tidak lebih dari itu. Maka, kepada "katak-katak" yang mahu mempromosikan diri mereka dengan kononnya "setia" dan semangat keramat Melayunya tinggi dari orang-orang Melayu yang lain... hentikanlah. Baliklah semula ke tempurung anda. Biarlah anak Tok Det dengan prinsipnya dan kita dengan prinsip kita.

Thursday, May 22, 2008

Ciritera Umno dan Tok Det

Kalau diikut dari pengamatan orang kampung, UMNO adalah parti keramat yang tak akan hancur. Kalau diamati dan dilihat dari senario sekarang bolehlah disediakan kain kapan dan dilantik imam untuk bacakan talkin buat UMNO. Orang yang paling sesuai adalah Tok Det. Bagi saya, Tok Det adalah UMNO dan UMNO adalah Tok Det. Selama 22 tahun Tok Det telah membina, mengangkat martabat, menjulang nama dan mengantarabangsakan UMNO. UMNO telah dilihat sebagai tunjang kejayaan kerajaan Malaysia yang boleh dikatakan dibina dari 'scrap'.
Maka dilihat dari senario sekarang tidaklah terkejut dan tidaklah kita hairan bila Tok Det sanggup keluar dari UMNO. Jika diletakkan kita di tempat Tok Det, tindakan yang sama juga akan kita ambil. Keluarga yang kita bina, jaga dan sayangi seperti menunggu retak menanti belah.. takkan sanggup kita biarkan..Namun setelah apa yang diwarwarkan, setelah apa yang dijeritkan tidak lagi diendahkan, tiada siapa yang ambil peduli kerana masing-masing mahu menjaga poket dan kuasa masing-masing, langkah angkat kaki yang diambil oleh Tok Det adalah satu tindakan yang berani dan saya hormati. Keluar bukan bererti lari, keluar adalah untuk 'reveal'kan siapa yang sebenar yang menjadi anai-anai di dalam UMNO.
Utusan Malaysia hari ini menerbitkan ulasan seorang yang mengatakan lebih baik Tok Det berhenti melakukan apa yang dilakukan sekarang kerana ini akan mengikis sifat negarawan yang sepatutnya dia peroleh. Namun sekiranya dikaji dan dikupas, tindakan Tok Det yang sebelum ini pernah kita lihat, selalunya dipandang serong pada mulanya namun akan diakui kebenaran tindakannya selepas satu jangkamasa. Bagi saya, inilah NEGARAWAN sebenar yang tidak mahu melihat bangsanya hancur, yang tidak rela melihat sementara beliau masih hidup parti UMNO yang dipertahankan, dibina, dijaga ini hancur. Inilah NEGARAWAN yang tidak kisah dicemuh, tidak kisah dihina oleh rakan-rakan kononnya yang dahulu sentiasa bersama, tidak hirau reputasinya dijatuhkan oleh rakan-rakan sendiri dan tidak hirau menjadi bahan ketawa oleh kononnya 'rakan seperjuangan' beliau sendiri.
Sedarlah kita bahawa Tok Det yang sepatutnya berehat, sepatutnya dijulang untuk merasmikan majlis-majlis, dipuji dipuji dan dipuji sentiasa bukanlah mahukan semua ini. Tok Det hanya mahu UMNO. Tok Det hanya mahu UMNO yang dibina dengan segala rintangan dan cabaran ini sentiasa agung dan sentiasa menjaga bangsa Melayu dan bumiputera. Tok Det mahu apabila beliau pejamkan mata, UMNO ditinggalkannya adalah UMNO yang menjadi milik semua individu bangsa Melayu dan bumiputera kerana UMNO bukanlah milik seseorang.UMNO milik kita. Namun kita terpaksa tinggalkan 'rumah' kita sebentar agar yang ditinggalkan dapat merasai apa yang kita rasai. Agar yang ditinggalkan akan dapat sedar dari lamunan yang 'rumah' kita bukanlah lagi rumah milik kita. Tapi telah dirampas oleh 'penjajah' baru.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons