Thursday, May 22, 2008

Ciritera Umno dan Tok Det

Kalau diikut dari pengamatan orang kampung, UMNO adalah parti keramat yang tak akan hancur. Kalau diamati dan dilihat dari senario sekarang bolehlah disediakan kain kapan dan dilantik imam untuk bacakan talkin buat UMNO. Orang yang paling sesuai adalah Tok Det. Bagi saya, Tok Det adalah UMNO dan UMNO adalah Tok Det. Selama 22 tahun Tok Det telah membina, mengangkat martabat, menjulang nama dan mengantarabangsakan UMNO. UMNO telah dilihat sebagai tunjang kejayaan kerajaan Malaysia yang boleh dikatakan dibina dari 'scrap'.
Maka dilihat dari senario sekarang tidaklah terkejut dan tidaklah kita hairan bila Tok Det sanggup keluar dari UMNO. Jika diletakkan kita di tempat Tok Det, tindakan yang sama juga akan kita ambil. Keluarga yang kita bina, jaga dan sayangi seperti menunggu retak menanti belah.. takkan sanggup kita biarkan..Namun setelah apa yang diwarwarkan, setelah apa yang dijeritkan tidak lagi diendahkan, tiada siapa yang ambil peduli kerana masing-masing mahu menjaga poket dan kuasa masing-masing, langkah angkat kaki yang diambil oleh Tok Det adalah satu tindakan yang berani dan saya hormati. Keluar bukan bererti lari, keluar adalah untuk 'reveal'kan siapa yang sebenar yang menjadi anai-anai di dalam UMNO.
Utusan Malaysia hari ini menerbitkan ulasan seorang yang mengatakan lebih baik Tok Det berhenti melakukan apa yang dilakukan sekarang kerana ini akan mengikis sifat negarawan yang sepatutnya dia peroleh. Namun sekiranya dikaji dan dikupas, tindakan Tok Det yang sebelum ini pernah kita lihat, selalunya dipandang serong pada mulanya namun akan diakui kebenaran tindakannya selepas satu jangkamasa. Bagi saya, inilah NEGARAWAN sebenar yang tidak mahu melihat bangsanya hancur, yang tidak rela melihat sementara beliau masih hidup parti UMNO yang dipertahankan, dibina, dijaga ini hancur. Inilah NEGARAWAN yang tidak kisah dicemuh, tidak kisah dihina oleh rakan-rakan kononnya yang dahulu sentiasa bersama, tidak hirau reputasinya dijatuhkan oleh rakan-rakan sendiri dan tidak hirau menjadi bahan ketawa oleh kononnya 'rakan seperjuangan' beliau sendiri.
Sedarlah kita bahawa Tok Det yang sepatutnya berehat, sepatutnya dijulang untuk merasmikan majlis-majlis, dipuji dipuji dan dipuji sentiasa bukanlah mahukan semua ini. Tok Det hanya mahu UMNO. Tok Det hanya mahu UMNO yang dibina dengan segala rintangan dan cabaran ini sentiasa agung dan sentiasa menjaga bangsa Melayu dan bumiputera. Tok Det mahu apabila beliau pejamkan mata, UMNO ditinggalkannya adalah UMNO yang menjadi milik semua individu bangsa Melayu dan bumiputera kerana UMNO bukanlah milik seseorang.UMNO milik kita. Namun kita terpaksa tinggalkan 'rumah' kita sebentar agar yang ditinggalkan dapat merasai apa yang kita rasai. Agar yang ditinggalkan akan dapat sedar dari lamunan yang 'rumah' kita bukanlah lagi rumah milik kita. Tapi telah dirampas oleh 'penjajah' baru.

0 ulasan:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grocery Coupons